KEGANASAN BUKAN BUDAYA MASYARAKAT; HORMAT DAN KESELAMATAN ASAS KEHARMONIAN

OKK ALEXSIUS
KENINGAU: Keganasan tidak harus diterima sebagai cara menyelesaikan konflik, sebaliknya perlu dicegah melalui pendidikan, pembentukan nilai murni dan kerjasama seluruh masyarakat sebelum sesuatu perselisihan berakhir dengan tragedi.
Seruan itu disampaikan Ketua Daerah (KD) Keningau merangkap Ketua Hakim Mahkamah Anak Negeri Keningau, OKK Alexsius Koperal Tingadon Pantayon, bersama Kapitan Anthony Chong Kong Ming, Ketua Masyarakat Cina Keningau, Pengerusi The Chong’s Clan Keningau Sabah dan Pengerusi The Chong’s Clan Association Keningau Sabah.
Kedua-dua pemimpin masyarakat itu menyatakan sokongan terhadap gesaan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (IKATAN), Tan Sri Lee Lam Thye, yang disiarkan oleh beberapa akhbar nasional dan tempatan baru- baru ini, supaya keganasan tidak dinormalisasikan atau dianggap sebagai jalan penyelesaian yang boleh diterima ketika berlakunya perselisihan.
Lee sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa insiden keganasan kebelakangan ini, termasuk kes pelajar diserang dan ditikam di sekolah. Beliau turut menekankan kepentingan pengesanan awal dan intervensi berkesan bagi menangani tingkah laku agresif, ancaman, kes buli serius serta masalah mengawal kemarahan.
Alexsius dan Anthony berkata, tanggungjawab mencegah keganasan tidak boleh diletakkan pada pihak berkuasa semata-mata. Sebaliknya, ibu bapa, pihak sekolah, pemimpin masyarakat, institusi pendidikan dan seluruh komuniti perlu berganding bahu melindungi generasi muda serta memelihara keharmonian di Keningau dan kawasan pedalaman Sabah.
Menurut mereka, pendidikan yang bermula di rumah dan diteruskan di sekolah amat penting dalam membentuk disiplin, empati, rasa hormat, pengurusan emosi serta keupayaan menyelesaikan konflik secara aman.
Di kawasan pedalaman, pemimpin tempatan dan ketua masyarakat turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam, menggalakkan penyelesaian perselisihan secara berhemah serta memberikan perhatian terhadap kebajikan dan keselamatan penduduk.
Lee turut mengingatkan bahawa perbuatan ganas yang melibatkan penggunaan senjata tidak boleh dianggap sekadar masalah disiplin sekiranya perbuatan itu memenuhi unsur kesalahan jenayah. Penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara tegas dan konsisten bagi memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.
Bagaimanapun, hukuman semata-mata tidak mencukupi tanpa usaha menangani punca keganasan, termasuk kelemahan mengawal emosi dan kurangnya rasa hormat terhadap orang lain.

KAPITAN ANTHONY CHONG KONG MING.
Dalam masa yang sama, pendidikan literasi digital perlu diperkukuh bagi membantu golongan muda memahami pengaruh media sosial serta mengelakkan penyebaran kandungan yang boleh menggalakkan permusuhan dan tingkah laku agresif. Media massa juga disaran memberikan penekanan kepada usaha pencegahan, kesedaran awam dan pengajaran yang boleh diambil daripada sesuatu kejadian.
Alexsius, seorang bekas pengetua sekolah yang telah bersara wajib, berkata pendidikan merupakan sumbangan yang mampu diberikannya untuk membantu masyarakat, khususnya golongan muda.
“Sekurang-kurangnya, usaha ini membantu kita mendidik masyarakat, terutama generasi muda, supaya sentiasa dibimbing. Itu sahaja yang saya mampu lakukan, iaitu mendidik dalam semua segi,” katanya.
Bagi Keningau dan kawasan pedalaman Sabah, kedua-dua pemimpin masyarakat itu menegaskan bahawa keharmonian bergantung pada kesediaan setiap anggota masyarakat mempertahankan sikap saling menghormati, semangat kejiranan dan keprihatinan terhadap kesejahteraan generasi muda.
Keharmonian bukan sekadar bermaksud ketiadaan konflik, tetapi turut mencerminkan keupayaan masyarakat mengurus perbezaan secara matang tanpa mencederakan, mengugut atau menjatuhkan maruah orang lain.
Justeru, usaha mencegah keganasan perlu bermula sebelum tragedi berlaku melalui pendidikan berterusan, keprihatinan masyarakat dan tindakan yang sewajarnya. Keselamatan dan keharmonian bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya amanah bersama seluruh masyarakat.