KENINGAU-Tiada pelajar harus tercicir daripada pendidikan hanya kerana terlantar di katil hospital.

Itu penegasan pengerusi Sabah NET Sdn. Bhd. merangkap ketua bahagian PGRS Keningau, Datuk Azman Haji Ruslan, yang menggesa agar sekolah dalam hospital (SDH) diwujudkan di daerah ini.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan program Sumilau Speed Roadshow peringkat daerah Keningau di SMK Apin-Apin, Keningau, kelmarin.

Menurutnya, ramai pelajar yang menjalani rawatan jangka pendek dan panjang, termasuk yang terpaksa menemani ahli keluarga yang sakit, berisiko ketinggalan dalam pelajaran sekiranya tiada kemudahan pendidikan di hospital.

"Pendidikan tidak boleh terhenti di pintu wad. Ilmu harus menembusi dinding hospital," katanya.

Azman berkata, pelaksanaan SDH memerlukan kerjasama strategik kementerian pendidikan, kementerian kesihatan Malaysia dan semua pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, beliau memuji program Sumilau Speed Roadshow sebagai inisiatif berkesan memberi pendedahan awal kepada pelajar dalam bidang sains, teknologi dan kemahiran, sekali gus menyemai minat untuk menceburi bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.

Mengulas kekurangan doktor di Sabah, beliau menegaskan penyelesaian jangka panjang ialah melahirkan lebih ramai doktor dalam kalangan anak Sabah sendiri.

Katanya, pendidikan berkualiti, peluang saksama dan pembangunan bakat tempatan merupakan tunjang kepada masa depan Sabah yang lebih sejahtera.