HPPNS TARIK 25,000 PENGUNJUNG DALAM TEMPOH DUA HARI

Jamawi (duduk, empat dari kiri) dan Masidi (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir dalam majlis Perasmian HPPNS 2026 itu.
TENOM: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah (HPPNS) 2026 menarik kira-kira 25,000 pengunjung dalam tempoh dua hari sejak Jumaat, mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap sektor pertanian, penternakan dan perikanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata kira-kira 8,000 pengunjung direkodkan pada hari pertama, manakala 17,000 lagi dianggarkan hadir pada hari kedua (kelmarin) di Padang Pekan Tenom dan Dewan Masyarakat Datuk Seri Panglima Antanom.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian HPPNS yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, yang diwakili Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, kelmarin.
Jamawi berkata sambutan itu turut melibatkan peladang, penternak, nelayan dan penoreh getah dari seluruh Sabah, yang bukan sahaja meraikan penerima hadiah dan insentif, malah berpeluang berkongsi pengalaman serta pengetahuan dengan masyarakat.

Jamawi (barisan hadapan, dua dari kanan) dan Masidi (barisan hadapan, kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, Dr Zul Bahar Abdul Rashid (tengah) ketika melawat pameran Kerbau Tompok (Nama saintifik: Bubalus bubalis, varian genetik: Piebald).
“Kita juga menerima kira-kira 240 pengusaha gerai, bukan sahaja daripada agensi kerajaan dan swasta, tetapi juga industri makanan,” katanya.
Beliau berkata HPPNS turut menyaksikan pemeteraian perjanjian kerjasama antara Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia bagi membangunkan tanah terbiar untuk penanaman padi, dengan nilai dianggarkan RM17.5 juta sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 hingga 2030.
Menurutnya, kerjasama antara agensi Persekutuan dan negeri itu diharap dapat memberi manfaat kepada pengusaha padi di Sabah.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada Hajiji atas peruntukan RM15 juta kepada Lembaga Padi dan Beras Negeri Sabah tahun ini bagi memenuhi keperluan jentera pertanian, termasuk untuk membajak, menanam dan menuai padi.
Katanya, penyediaan jentera berkenaan diharap dapat meningkatkan semangat golongan muda untuk meneruskan kegiatan pertanian.
Beliau berkata kementeriannya turut merancang mengusahakan sawah padi terbiar di Kota Belud dan Kota Marudu menerusi pendekatan ladang mini (mini estate), dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta syarikat yang berminat menguruskan kawasan berkenaan.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13, kementerian juga akan mempergiat pembangunan tanaman rumbia di Beaufort dan tanaman jagung di Kota Marudu, selain meneruskan usaha memulihkan sawah padi terbiar.
Jamawi berkata penganjuran HPPNS di kawasan luar bandar memberi peluang kepada masyarakat tani menimba ilmu dan berkongsi pengalaman dengan agensi kerajaan serta pengusaha pertanian yang berjaya.
“Kebanyakan pelanggan kami adalah masyarakat luar bandar. Mereka memerlukan program seperti ini untuk mendapatkan ilmu dan mengetahui perkembangan dalam sektor pertanian,” katanya.
Beliau berkata kementeriannya merancang mengadakan program seumpama itu di kawasan luar bandar sehingga 2029, dengan Beaufort dicadangkan menjadi tuan rumah tahun depan.
Jamawi berkata HPPNS juga berpotensi menarik lebih ramai pelancong menerusi kerjasama dengan pengusaha pelancongan, sekali gus meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
Menurutnya, Beaufort mempunyai potensi untuk mengembangkan industri rumbia sebagai sumber makanan, selain memperkasakan pengusaha akuakultur, termasuk penternak udang dan ikan.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan terhadap pakej perjalanan kereta api ke Tenom sempena HPPNS amat menggalakkan sehingga menyebabkan kesesakan ketika orang ramai mendapatkan tiket.
Katanya, perkara itu di luar kawalan kementerian kerana perkhidmatan kereta api dikendalikan Jabatan Keretapi Negeri Sabah, yang turut berdepan kekangan kapasiti.
Beliau berharap kapasiti perkhidmatan itu dapat ditingkatkan bagi menyokong Tahun Melawat Tenom 2027, yang antara tarikannya ialah perjalanan menggunakan kereta api.
Jamawi berkata sambutan tersebut menunjukkan potensi pelancongan berasaskan pertanian dan pengalaman tempatan dalam menarik pengunjung ke kawasan luar bandar Sabah.
Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Rubin Balang yang juga ADUN Kemabong; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Pembantu Menteri I dan II MAFFI, Datuk Haji Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Ts. Hj Jifrin Hj Mohamad; Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew; Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap Kementerian, Ketua-ketua Jabatan dan pemimpin setempat DUN Melalap.