GOTONG ROYONG -Rozie (enam kanan) bersama-sama AJK KRT serta komuniti setempat yang hadir menjayakan program tersebut.

KENINGAU– Semangat perpaduan dan kerjasama terus diperkukuh di Kampung Toboh Baru apabila Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung berkenaan menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran papan tanda KRT di Simpang masuk perkampungan kampung berkenaan baru -baru ini.

Aktiviti itu diketuai Pengerusi KRT Kg. Toboh Baru, Rozie Gitang bersama Timbalan nya, Julianah Pagut.

Seramai hampir 10 ahli jawatankuasa dan komuniti setempat turut hadir, antaranya Penolong Setiausaha KRT Peter Nansi Tundou, AJK Biro Warga Emas Gabrine Ahmad, Sarimah Pagut, AJK Wanita Emilia Gitang, Norita dan Bibianah Thadius serta AJK Jiran Belia dan Rakan Jiran.

Menurut Rozie, pembersihan kawasan persekitaran papan tanda itu penting bagi memastikan nama kawasan dan maklumat komuniti dapat dilihat dengan jelas oleh penduduk dan pengguna jalan raya, selain menceriakan landskap kampung.

"Selain menceriakan kawasan, aktiviti ini melambangkan keprihatinan dan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk," katanya.

Beliau bersama timbalannya merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan komited menjayakan program tersebut.

Aktiviti seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memupuk komuniti yang harmoni dan sejahtera.