KESEJAHTERAAN BAYI SERTA KANAK-KANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA - ABDUL GHANI

Abdul Ghani meletupkan belon sebagai gimik perasmian program itu.
NABAWAN: Usaha meningkatkan tahap kesihatan, pemakanan dan kesejahteraan bayi serta kanak-kanak perlu menjadi tanggungjawab bersama semua pihak bagi memastikan generasi masa depan membesar dengan sihat dan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, berkata tempoh 1,000 hari pertama kehidupan merupakan fasa penting yang menentukan pertumbuhan fizikal, perkembangan otak dan keupayaan pembelajaran seseorang kanak-kanak.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program 1000 Hari Pertama Kehidupan (1000 HPK) – Intervensi Community Feeding Nabawan Peringkat Kawasan Keningau Tahun 2026, di dewan serbaguna Majlis Daerah di sini pada Sabtu.

Abdul Ghani (tengah baris kedua) bersama Dr Eric Tan merakamkan gambar kenangan dengan ibu-ibu dan AJK penganjur majlis itu.
Menurutnya, tempoh berkenaan bermula sejak kehamilan sehingga anak berumur dua tahun, sekali gus memerlukan perhatian khusus dari segi pemakanan seimbang, penjagaan kesihatan dan persekitaran keluarga yang menyokong perkembangan kanak-kanak.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik pelaksanaan program Community Feeding yang bukan sahaja membantu kanak-kanak yang memerlukan intervensi pemakanan, malah turut memberikan pendidikan dan bimbingan kepada ibu bapa serta penjaga mengenai kepentingan pemakanan yang betul.
“Kita tidak mahu ada anak-anak di Nabawan yang ketinggalan dari segi pertumbuhan dan perkembangan hanya kerana mereka tidak mendapat pemakanan dan penjagaan kesihatan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata pembangunan masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur dan ekonomi, sebaliknya pembangunan modal insan, khususnya kesihatan generasi muda, perlu diberikan keutamaan.
Katanya, anak-anak Nabawan perlu dibantu untuk membesar sebagai generasi yang sihat, berilmu dan berdaya saing agar mampu menyumbang kepada pembangunan daerah serta negeri Sabah pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha itu tidak boleh diserahkan kepada pihak kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, pemimpin masyarakat, jawatankuasa kampung, agensi kerajaan dan seluruh komuniti setempat.
Menurutnya, ibu bapa dan penjaga perlu diberikan maklumat yang tepat mengenai penyediaan makanan berkhasiat, amalan pemakanan mengikut peringkat umur serta kepentingan membawa anak menjalani pemeriksaan kesihatan dan pemantauan pertumbuhan secara berkala.
Pada masa sama, anggota kesihatan digesa supaya terus mendekati masyarakat, mengenal pasti kanak-kanak yang memerlukan bantuan dan memastikan intervensi bersesuaian diberikan, termasuk kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Beliau turut berharap pemimpin masyarakat di setiap kampung dapat memainkan peranan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan pemakanan kanak-kanak.
“Janganlah kita menganggap kesihatan dan pemakanan anak-anak sebagai tanggungjawab sesebuah keluarga sahaja, tetapi sebagai amanah bersama seluruh masyarakat,” katanya.
Beliau berharap program berkenaan tidak terhenti setakat majlis perasmian, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan dan lebih tersusun dalam meningkatkan status pemakanan serta kesihatan kanak-kanak di daerah Nabawan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota kesihatan yang komited memberikan perkhidmatan kepada masyarakat, termasuk penduduk yang tinggal di kawasan pedalaman.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat terus diperkukuh bagi memastikan kanak-kanak di Nabawan mendapat permulaan kehidupan yang lebih sihat, sekali gus membina generasi masa depan yang berkualiti.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau Dr Eric Tan Chee How, pegawai-pegawai perubatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.