KM: BANGUNKAN PRODUK PELANCONGAN BERIDENTITI TERSENDIRI DI SETIAP DAERAH

Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman meneliti sebilah parang, yang merupakan antara produk yang dijual di Tamu Kota Belud. Turut mengiringi beliau ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick.
KOTA BELUD: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu seluruh daerah di negeri ini membangunkan produk dan pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dalam menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027.
Katanya, setiap daerah mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri yang boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan, termasuk Kota Belud yang kaya dengan khazanah budaya, tradisi dan keindahan alam semula jadi.
“Kota Belud adalah antara destinasi yang menawarkan pelbagai pengalaman pelancongan, termasuk pengembaraan, rekreasi, budaya dan alam semula jadi yang menarik untuk diterokai termasuk di pulau dan sungai.
“Malah, daerah Kota Belud telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Kinabalu UNESCO Global Geopark sejak Mei 2023. Ini menunjukkan potensi besar daerah ini dan seterusnya Sabah sebagai destinasi pelancongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Tamu Besar Kota Belud 2026 di sini.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Di-Pertua Negeri Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin.
Hajiji berkata, Tamu Besar Kota Belud yang berusia 148 tahun juga merupakan antara acara tahunan penting dalam kalendar pelancongan Sabah, dengan keunikan budaya, makanan tempatan, kraftangan dan kehidupan masyarakat setempat menjadi tarikan kepada pengunjung.
Katanya, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) turut mengiktiraf Tamu Besar Kota Belud sebagai antara acara khazanah dan budaya yang mempunyai nilai penting dalam landskap pelancongan negeri.
Beliau mahu kekuatan khazanah itu terus dimanfaatkan sebagai produk pelancongan yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi masyarakat setempat.

Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, melihat hasil kraftangan yang dijual di Tamu Kota Belud. Turut mengiringi mereka ialah Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
“Dengan pendekatan ini, manfaat sektor pelancongan tidak hanya tertumpu kepada industri dan pengusaha besar, tetapi turut sampai kepada pengusaha inap desa, petani, penternak, peniaga kecil, pengusaha makanan, penggiat kraftangan dan masyarakat setempat,” katanya.
Menurutnya, Tamu Besar Kota Belud bukan sekadar tempat berjual beli atau bertukar barangan tetapi menjadi medan pertemuan sosial masyarakat pelbagai kaum dan
Beliau berkata, Kota Belud sememangnya mempunyai kekuatan yang besar dalam sektor pertanian, khususnya tanaman padi, selain perusahaan kecil dan sederhana, makanan, kraftangan serta pelancongan.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memberi perhatian kepada sektor-sektor lain kerana kita mahu kekuatan ekonomi yang diwarisi masyarakat Kota Belud diperkasakan dengan pendekatan baharu, teknologi, nilai tambah dan akses pasaran yang lebih luas.
Katanya, daripada kira-kira 12,000 usahawan yang menerima pelbagai bentuk bantuan dan geran perusahaan kecil dan sederhana (IKS) di Sabah, seramai 1,800 orang adalah dari Kota Belud.
“Ini menunjukkan besarnya potensi dan keupayaan usahawan daerah ini yang perlu terus kita sokong dan perkasa,” katanya.