KOTA KINABALU, SABAH: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menganjurkan CoopFest Borneo 2026 sebagai platform strategik untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan koperasi, memperluas akses pasaran serta memperkukuh jaringan perniagaan dalam kalangan gerakan koperasi, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah. Beliau turut menyampaikan cek cura Bantuan Pembangunan Koperasi dan pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) kepada koperasi penerima.

Penganjuran CoopFest Borneo 2026 mencerminkan komitmen berterusan SKM dalam memperkasakan gerakan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya saing. Program ini bukan sahaja membuka ruang kepada koperasi untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan, malah menjadi pemangkin kepada penerokaan peluang perniagaan baharu, peluasan jaringan kerjasama strategik serta pengukuhan ekosistem keusahawanan koperasi.

Antara pengisian penting CoopFest Borneo 2026 ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA Negeri Sabah dengan SAIL Malaysia serta Memorandum Perjanjian kerjasama dalam bidang pelancongan antara Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad dengan Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK).

Kerjasama ini diharap dapat membuka peluang perniagaan baharu, memperluas jaringan pemasaran serta meningkatkan potensi koperasi untuk meneroka sektor ekonomi yang mempunyai nilai tambah kepada anggota dan komuniti setempat.

Sambutan CoopFest Borneo 2026 turut dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik, antaranya ekspo dan pameran produk koperasi, jualan koperasi, kaunter informasi agensi, Lentera Jiwa @ CoopFest, pertandingan e-sukan, Fun Walk, Program Inovasi STEM Koperasi Sekolah, pertandingan mewarna kanak-kanak serta Malam Kebudayaan yang menampilkan persembahan artis jemputan.

Kepelbagaian aktiviti ini bertujuan mendekatkan gerakan koperasi dengan masyarakat di samping meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap peranan koperasi sebagai wadah pembangunan ekonomi, keusahawanan dan kesejahteraan komuniti. 

Melalui penganjuran CoopFest Borneo 2026, SKM berharap gerakan koperasi di Sabah dan Sarawak dapat terus diperkukuh sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

SKM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua koperasi, agensi kerajaan, rakan strategik serta pihak yang terlibat atas kerjasama, sokongan dan komitmen dalam menjayakan CoopFest Borneo 2026.