KOTA KINABALU, 16 Oktober: Gerakan koperasi di Sabah dan Sarawak menerima dorongan baharu menerusi penganjuran CoopFest Borneo 2026 yang membuka ruang lebih luas untuk memasarkan produk, membina kerjasama strategik dan meneroka peluang perniagaan bernilai tambah.

Anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), program itu menjadi medan memperkukuh potensi koperasi sebagai penggerak ekonomi setempat, sekali gus membawa manfaat kepada anggota dan komuniti.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan cek cura Bantuan Pembangunan Koperasi dan pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMP-SKM) kepada koperasi penerima.

Menurut kenyataan SKM, penganjuran CoopFest Borneo 2026 mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkasakan gerakan koperasi agar lebih berdaya saing, mampan dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Antara pengisian utama ialah pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara ANGKASA Negeri Sabah dengan SAIL Malaysia.

Turut berlangsung ialah pertukaran Memorandum Perjanjian kerjasama dalam bidang pelancongan antara Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad dengan Koperasi Sosodikon Ranau Berhad (KOPSODIK).

Kerjasama itu diharap membuka peluang perniagaan baharu dan memperluas jaringan pemasaran, selain meningkatkan keupayaan koperasi meneroka sektor yang dapat memberikan nilai tambah kepada anggota serta masyarakat setempat.

CoopFest Borneo 2026 turut menghimpunkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan koperasi dengan masyarakat, termasuk ekspo dan pameran produk, jualan koperasi serta kaunter informasi agensi.

Pengisiannya turut merangkumi Lentera Jiwa @ CoopFest, pertandingan e-sukan, Fun Walk, Program Inovasi STEM Koperasi Sekolah, pertandingan mewarna kanak-kanak dan Malam Kebudayaan yang menampilkan artis jemputan.

Kepelbagaian pengisian tersebut memberi ruang kepada masyarakat daripada pelbagai peringkat usia untuk mengenali produk, perkhidmatan dan peranan koperasi dalam kehidupan seharian.

Lebih 500 orang hadir daripada lebih 100 buah koperasi hadir ke majlis pelancaran CoopFest kali ini termasuk Koperasi Pejerja-Pekerja Kerajasn Sabah Berhad (KOPEKS)  yang menghantar lebih 20 orang anggota dan kakitangan diketuai Pengerusi Datuk Dr. Hj Saat Hj Awg Damit dan CEO Kopeks Buvil Angkui.

Semasa di temui Pengarah SKM negeri Sabah Hj Awg Ruslli berharap penganjuran itu dapat terus memperkukuh gerakan koperasi di Sabah dan Sarawak sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif dan seimbang selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.