PERTUBUHAN MURUT NABAI SABAH BINCANG KERJASAMA PEMBANGUNAN KOMUNITI DENGAN PEGAWAI DAERAH KENINGAU

ALBUM: Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah diketuai Presiden nya, Aki Mangkaunan Ir Egbert (duduk kiri) merakam momen indah bersama Pegawai Daerah, Norsih.
KENINGAU: Lapan Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Etnik Murut Nabai Sabah mengadakan kunjungan hormat kepada Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri di Pejabat Daerah Keningau baru-baru ini.
Kunjungan itu membuka ruang perbincangan mengenai kerjasama dalam pembangunan komuniti, usaha memperluas peluang ekonomi serta pertukaran maklumat yang tepat dan pantas.

CENDERAHATI: Ir. Egbert (empat kanan) sampaikan cenderamata kepada Norsih (empat kiri) sambil diperhatikan Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan yang hadir.
Presiden pertubuhan, Aki Mangkaunan Ir. Egbert Manjin, memperkenalkan latar belakang dan peranan pertubuhan dalam memelihara warisan budaya, menyatukan komuniti Murut Nabai serta menyokong kesejahteraan masyarakat di peringkat akar umbi. Rombongan turut berkongsi hala tuju, polisi dan isu semasa yang menjadi perhatian komuniti.
Dalam pertemuan itu, pihak pertubuhan mengucapkan tahniah kepada Norsih atas pelantikannya dan menyampaikan jemputan rasmi untuk beliau merasmikan serta menghadiri acara anjuran pertubuhan pada masa akan datang.

Rombongan turut disertai Timbalan Presiden 1, Fred Vincent Marukau; Timbalan Presiden 2, Eson Aris; Penolong Setiausaha, Johnny Liew; Ketua Penerangan, Razali bin Ujoh; Timbalan Ketua Penerangan, Rosdee bin Razalie; Naib Presiden 6, Nuar @ Salamat Jimie; dan Naib Presiden 9, Donna Miles.