KENINGAU: Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datin Tengku Aini Tengku Ibrahim, menyifatkan Majlis Perasmian Patikang Pickle Park (PPP) pada Ahad lalu sebagai satu acara yang meriah dan bermakna.

Ia jelas mencerminkan semangat perpaduan komuniti menerusi sukan pickleball yang semakin mendapat tempat di daerah ini.

Beliau berkata, kehadiran bersama wakil rakyat Dato' Sr. Mohd Ishak Ayub ke majlis tersebut memberi peluang untuk menyaksikan sendiri keterujaan para peserta dan pengunjung yang mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sepanjang program berlangsung.

Menurutnya, antara tarikan utama ialah perlawanan pertunjukan membabitkan pemain-pemain profesional yang mempamerkan aksi berkualiti tinggi, sekali gus memberi inspirasi kepada pemain-pemain tempatan untuk terus meningkatkan prestasi dalam sukan berkenaan.

Patikang Pickle Park merupakan gelanggang pickleball baharu yang dilengkapi enam gelanggang bersaiz penuh.

Ia sekali gus menyediakan kemudahan moden bagi menyokong perkembangan sukan baharu itu di Keningau.

Majlis pembukaan turut menyaksikan penyertaan pemain pickleball dari dalam dan luar daerah.

Antara peserta pickelball dan Tengku Aini

Kehadiran mereka tembah memeriahkan acara dalam suasana penuh muhibah.

Datin Tengku Aini turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pihak pengurusan Patikang Pickle Park serta Picklehoods Keningau atas penganjuran program yang berusaha menjayakan dan mampu mendapat sambutan  komuniti setempat.

Beliau berharap Patikang Pickle Park terus berkembang sebagai pusat pembangunan pickleball di pedalaman Sabah.

Ia berharap ia boleh menjadi platform melahirkan lebih ramai pemain berbakat, di samping menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.


Laporan Oleh: Paul Ukau