Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendahului Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025.

MEMBAKUT : Polis Diraja Malaysia (PDRM) memastikan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 agar selamat sampai ke setiap destinasi yang dituju.

Inspektor di Jabatan Siasatan Polis Trafik, Cornelius Loipin berkata, tugasan PDRM semasa konvoi KMJG adalah memastikan kelancaran aliran trafik.

"Sebagai rakan strategik Konvoi KMJG 2025, PDRM bertanggungjawab untuk memastikan aliran trafik lancar dan keselamatan peserta terjaga.

"Tidak dinafikan banyak cabaran yang dilalui antaranya apabila berhadapan dengan kesesakan lalu lintas terutamanya ketika waktu puncak.

"Saya nasihatkan agar orang awam dapat memberi kerjasama kepada konvoi KMJG 2025, beri laluan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui media sempena Program Konvoi KMJG 2025 Peringkat Daerah Membakut di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau berkata program seperti konvoi KMJG 2025 ini dapat memperkukuhkan hubungan di antara agensi keselamatan dengan masyarakat setempat.

"Melalui program seperti ini, tidak kira agensi kerajaan,keselamatan atau badan bukan kerajaan dapat bersatu padu sekaligus mengeratkan silaturahim antara sesama," katanya.

Beliau berharap konvoi KMJG 2025 itu akan dapat menggelorakan lagi semangat kemerdekaan dan menggalakkan orang ramai untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah.

Oleh Penerangan