PMBS KOTA KLIAS JUARA PERTANDINGAN GANDANG KONTEMPORARI 2026

Pg Jaafar menerima sijil penghargaan bagi pihak PMBS yang disampaikan oleh Nazri.
BEAUFORT: Kumpulan Nasa Generation yang mewakili Persatuan Masyarakat Brunei (PMBS) Cawangan Kota Klias muncul juara Pertandingan Bagandang Kategori Moden Kontemporari sempena Festival Bagandang Beaufort 2026.
Kumpulan anak muda dari Kota Klias ini menewaskan enam kumpulan lain dalam pertandingan yang diadakan di Dataran Bagandang di sini pada malam 29 Oktober lepas.
Kejuaraan itu membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,300 dan sijil.
Naib johan pula dimenangi oleh Kumpulan Alun Tradisional dari Rancangan Klias. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200 dan sijil.
Kumpulan PS One dari Beaufort pula menduduki tangga ketiga dan berjaya meraih wang tunai RM1,000 dan sijil.
Hadiah disampaikan oleh Pegawai Daerah Beaufort merangkap Pengerusi Festival Bagandang Beaufort 2026, Nazri Ajun.
Sementara itu, PMBS Kota Klias juga djemput ke Malam Kebudayaan pada 30 Oktober lalu bagi mempersembahkan tarian kebudayaan dan gandang masyarakat Brunei.
Turut hadir pada malam kebudayaan, Naib Presiden 1 PMBS, Haji Pengiran Jaafar Hj Pg Osman.
PMBS Kota Klias juga turut memeriahkan pada hari terakhir Pesta Bagandang dengan mengadakan pameran dan kuiz bahasa Brunei.
Majlis penutupan dilakukan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Dr Musa Haji Aman yang turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PMBS yang juga Ketua Cawangan PMBS, Beaufort, Haji Ahmad Yakob.
Pengerusi PMBS Kota Klias, Zaidi Haji Omar berkata beliau berpuas hati dengan persembahan yang dibuat oleh ahli-ahli cawangan itu sehingga mencapai kejayaan.
Zaidi juga merakamkan penghargaan kepada dua pemimpin pusat yang hadir pada pesta itu dan cawangan yang menyertai pameran.
Oleh Avianne Cayla