KOPEKS ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KEPADA YB MENTERI MITI

Saat menyampaikan cenderahati kepada Johari
KUALA LUMPUR – Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di Menara MITI pada Isnin, 2 November 2026.
Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Haji Saat bin Haji Ag Damit, itu membincangkan cadangan penyertaan koperasi dalam terbitan saham baharu menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia.

Perbincangan tertumpu pada peluang KOPEKS untuk mengambil bahagian dalam peruntukan saham Bumiputera bagi IPO akan datang. Melalui cadangan ini, KOPEKS berhasrat membuka ruang kepada anggotanya, yang majoritinya terdiri daripada penjawat awam Bumiputera di Sabah, untuk mendapat manfaat daripada pelaburan koperasi dalam pasaran modal.
Penyertaan dalam terbitan saham baharu juga berpotensi mempelbagaikan sumber pendapatan KOPEKS. Sekiranya pelaburan itu menjana keuntungan, pulangannya boleh menyokong agihan dividen kepada anggota.
Turut menyertai delegasi KOPEKS ialah Bendahari; Ag Azmee bin Ag Kati, Ketua Pegawai Eksekutif; Buvil bin Angkui, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif; Dr. Rita binti Rantian, Akauntan; Mohamad Khalilludin bin Abdul Gani dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan; Ag Ismail bin Ag Ramle.