ADUN BINGKOR TURUN PADANG TINJAU LALUAN BERISIKO KE SAWAH KAMPUNG BINAONG/ BAGINDA

TURUN PADANG - Ishak (bertopi) bersama Pegawai JPS daerah Keningau turun padang ke lokasi - melihat sendiri keperluan jalan raya yang berisiko untuk dinaik taraf.
BINGKOR – Keselamatan pengguna tidak boleh dikompromi, apatah lagi apabila laluan yang menjadi nadi perhubungan ke kawasan pertanian berisiko mengundang tragedi.
Menyedari perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato' Sr. Mohd Ishak Ayub, turun padang meninjau keadaan laluan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dari Kampung Binaong menuju kawasan sawah Kampung Baginda yang dilaporkan tidak selamat dilalui kenderaan kecil.

Tinjauan bersama pegawai JPS Keningau itu bertujuan melihat sendiri keadaan laluan berkenaan susulan kejadian kemalangan yang dilaporkan berlaku pada minggu lalu, sekali gus memberi perhatian terhadap risiko keselamatan yang dihadapi penduduk dan pengguna jalan tersebut.

KEMALANGAN – Sebuah kenderaan milik penduduk kampung yang melalui Jalan JPS dari Kampung Binaong ke Kampung Baginda, Bingkor terbalik dengan keempat-empat roda ke atas selepas dipercayai hilang kawalan akibat jalan yang sempit, licin dan tidak berturap, isu rakyat yang perlu dinaik taraf segera.
Laluan berkenaan merupakan antara penghubung penting kepada kawasan pertanian, khususnya bagi penduduk dan petani yang menggunakannya dalam urusan harian. Justeru, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana sebarang risiko di laluan itu bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna, malah boleh menjejaskan kelancaran aktiviti pertanian masyarakat setempat.
Keselamatan tidak seharusnya hanya menjadi keutamaan selepas kemalangan berlaku. Laluan ke sawah sepatutnya menjadi jalan mencari rezeki, bukannya laluan yang mempertaruhkan nyawa.