Nizam menyerahkan plak simbolik penyerahan tapak kepada Pengurus Anthony Chin.

SOOK:  Pembinaan Kompleks Sukan Sook di Jalan Masusun, Daerah Sook yang bernilai lebih kurang RM15 juta,  bakal menyediakan kemudahan sukan yang lebih baik kepada penduduk setempat, khususnya golongan belia dalam usaha mengembangkan bakat dan meningkatkan prestasi sukan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penyerahan tapak projek kepada AC Enterprise selaku kontraktor pelaksana menandakan langkah penting dalam merealisasikan pembinaan kompleks sukan berkenaan.

Nizam (ketiga dari kiri) merakamkan gambar bersama VIP, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat yang hadir.

Beliau berkata, kompleks yang dibangunkan di atas tapak seluas kira-kira 50 ekar itu dibiayai Kerajaan Negeri Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, penyerahan tapak kepada kontraktor pelaksana sudah tentu membawa harapan baharu kepada penduduk Sook untuk menikmati kemudahan sukan yang lebih baik.

“Pembinaan kompleks ini mencerminkan perhatian Kerajaan Negeri Sabah terhadap keperluan masyarakat luar bandar yang berhak menikmati kemudahan berkualiti, selamat dan sesuai dengan keperluan setempat,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tapak Kompleks Sukan Sook di sini pada Rabu.

Pada masa sama Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, atas kelulusan pembinaan kompleks berkenaan.

Beliau turut menghargai usaha Datuk Ellron Angin yang mencadangkan dan mengusahakan pembinaan kompleks itu ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Dalam pada itu, beliau menyeru kontraktor pelaksana supaya memastikan kerja-kerja pembinaan dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.

Menurutnya, kejayaan projek berkenaan bukan sekadar diukur berdasarkan penyiapan fizikal, sebaliknya turut bergantung pada sejauh mana kemudahan itu dimanfaatkan oleh masyarakat selepas siap kelak.

Katanya, kompleks sukan itu diharapkan menjadi pusat aktiviti sukan dan rekreasi yang dapat menghimpunkan penduduk tanpa mengira usia atau latar belakang, selain mengeratkan hubungan masyarakat serta memupuk semangat kesukanan dan saling menghormati.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan juga mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menjalani gaya hidup aktif, mengisi masa lapang dengan kegiatan berfaedah serta membina disiplin dan kepimpinan menerusi latihan dan pertandingan sukan.

“Kita mahu lebih ramai anak muda di Sook mendapat peluang mengembangkan bakat dan meningkatkan prestasi sukan. Bakat mereka perlu dibimbing sejak peringkat akar umbi supaya suatu hari nanti mereka mampu melangkah lebih jauh dan mewakili daerah, negeri serta negara,” katanya.

Nizam turut berharap kompleks itu dapat diurus dengan baik dan digunakan sepenuhnya oleh komuniti setempat, termasuk persatuan sukan, sekolah serta pertubuhan masyarakat melalui pelbagai program yang bermanfaat.

Tambahnya, pembangunan berkenaan turut mendukung aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju, makmur dan sejahtera dengan keperluan rakyat sebagai keutamaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua jabatan, agensi teknikal, kontraktor, perunding dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan.

Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar, disiapkan mengikut perancangan dan memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta generasi akan datang.

Hadir sama Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tulid Tuan Jordan Jude Ellron, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, ADUN Liawan Datuk Nik Nazri Nik Zawawi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Datuk Mansur Haji Asun, Pegawai Daerah Sook Hasinin  Kinsin, mantan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin, ketua-ketua jabatan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan pengurus syarikat pelaksana Anthony Chin Ban Fah.