INDUSTRI MINYAK DAN GAS DI SABAH BAKAL MELONJAK HASIL KERJASAMA SEDCO DAN PETRONAS

Ar. James Wong mewakili Sedco (duduk kiri) bersama Zairil (kanan) sambil disaksikan Ewon dan Masiung.
KOTA KINABALU: Kerjasama dua hala di antara Kumpulan Sedco dan Petronas di bawah perjanjian pajakan tanah dengan nilai keseluruhan RM200 juta dalam tempoh 30 tahun mencetuskan lonjakan besar dalam sektor minyak dan gas di Sabah.
Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, pemeteraian perjanjian pajakan tanah Kumpulan Sedco dan Petronas adalah langkah transformasi ekonomi berterusan kerajaan negeri untuk tempoh jangka panjang.
Beliau berucap pada majlis pemeteraian perjanjian kedua-dua agensi itu yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di salah sebuah hotel di ibu negeri, hari ini.
Perjanjian itu melibatkan pajakan 32.2 hektar tanah untuk operasi dua agensi kerajaan negeri iaitu Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) di Kimanis dan 260 hektar tanah sepanjang koridor jajaran saluran paip gas, Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dari Kimanis ke Sipitang.
Menurut Masiung, langkah baharu itu sebagai usahasama strategik memperkukuhkan ekosistem Sabah dan Sarawak, sekaligus meletakkan Sedco dan Petronas sebagai pemain utama dalam industri domestik.
"Kontrak kerjasama ini dijangka menjana RM100 juta dalam tempoh dua tahun sehingga pertengahan 2028 dengan menyasarkan pulangan RM20 juta dividen dan pinjaman kepada kerajaan negeri yang mula disalurkan tahun ini.
"Pemeteraian perjanjian pajakan tanah ini merupakan pencapaian komersial dua hala antara Petronas dan Sedco bagi menyokong pembangunan infrastruktur industri minyak dan gas di tanah besar Borneo merangkumi Sabah, Sarawak, " katanya.
Menurut Masiung, kolaborasi kedua-dua agensi itu telahpun bermula sejak 1997 dan hubungan kerjasama itu telah menyokong pelbagai projek infrastruktur dan utiliti di negeri ini.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd Sofian wakil daripada Petronas diwakili Naib Presiden Kanannya, Datuk Ir. Bacho. Pilong.
Manakala Ziaril Faiz Zakaria, Pengurus Besar Kanan Integrated Hydrocarbon Malaysia Management mewakili Petronas bagi menandatangani meterai perjanjian dan Sedco diwakili Pengurus Besar, Datuk Ar. James Wong.
Oleh Avianne Cayla