MEMBAKUT – Program Jualan MADANI Koperasi (JMK) dan Jualan MADANI KUSKOP di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM888,550.01 di Sabah setakat ini.

Perkara tersebut dimaklumkan dalam sidang media sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Mohamad bin Alamin ke Binsulok, Membakut, pada hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut menganjurkan program Coop Talk bersama penduduk Kampung Binsulok dan kontraktor Bumiputera tempatan yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berkoperasi melalui taklimat bertajuk “Kesedaran Berkoperasi dalam Komuniti” yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan SKM Wilayah Beaufort, Puan Khodijah binti Sunardi.

Seterusnya, beliau melancarkan Program Jualan MADANI KUSKOP di Sekolah Kebangsaan Binsulok yang menawarkan barangan keperluan harian kepada penduduk setempat dengan potongan harga sehingga 20 peratus, manakala potongan harga sehingga 30 peratus ditawarkan sepanjang sesi Happy Hour.

Beliau kemudiannya menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama penduduk Kampung Binsulok dan kontraktor Bumiputera tempatan Negeri Sabah anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), KUSKOP di lokasi yang sama.

Berdasarkan data yang dikongsikan, sebanyak 26 program JMK telah diluluskan di Sabah daripada sasaran 29 program, melibatkan peruntukan sebanyak RM227,000 dan penyertaan 14 operator. Program tersebut merekodkan jualan berjumlah RM347,498.73, dengan tuntutan subsidi sebanyak RM75,322.60 bagi 12 program yang telah selesai proses tuntutan.

Sementara itu, bagi Jualan MADANI KUSKOP, sebanyak 11 program telah dilaksanakan di tujuh lokasi, melibatkan tujuh operator dan peruntukan sebanyak RM205,000. Program berkenaan mencatatkan jualan berjumlah RM541,051.28 dengan tuntutan subsidi sebanyak RM134,381.83.

Program Jualan MADANI KUSKOP merupakan antara inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat melalui penawaran barangan keperluan harian pada harga berpatutan, di samping membuka peluang pasaran kepada koperasi dan usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil KUSKOP, YBrs. Encik Azizul bin Alias; Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sabah, Tuan Haji Awg Ruslli bin Haji Mohammad; Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Negeri Sabah, Encik Mohd Razalie bin Raffae; serta pegawai Kerajaan Persekutuan dan warga kerja SKM, termasuk SKM Wilayah Beaufort.