SALIRAN SAWAH KAMPUNG BUNSIT SEPANJANG 800 METER SIAP, SELESAIKAN ADUAN PENDUDUK

BINGKOR — Aduan penduduk Kampung Bunsit berhubung masalah saliran sawah kini diselesaikan selepas kerja penambahbaikan sepanjang kira-kira 800 meter siap dilaksanakan.

Kerja berkenaan dilaksanakan hasil tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub, dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Keningau.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bunsit, Elesia Edwin (gambar kecil), berkata penambahbaikan itu memberi manfaat kepada penduduk, khususnya dalam memastikan sistem saliran sawah berfungsi dengan lebih baik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Bingkor, UPPM, JPS serta semua pihak yang terlibat kerana mengambil tindakan terhadap aduan berkenaan.
Siapnya projek itu membuktikan keprihatinan pihak berkaitan dalam menangani keperluan penduduk, selain menjadi hasil nyata daripada aduan yang disampaikan oleh masyarakat setempat.