KUNJUNGAN HORMAT - Anggi Kathil (lima kanan) bersama AJK PBPM semasa kunjungan itu.

KENINGAU: Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Keningau menawarkan pengalaman dan pengetahuan anggotanya untuk menjadi “mata dan telinga” kepada polis dalam membantu memperkukuh keselamatan serta usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah di daerah ini.

Pengerusinya, Sub Inspektor (B) Francis Anggi Kathil berkata, bekas anggota polis mempunyai pengalaman luas dalam aspek keselamatan dan pencegahan jenayah yang masih boleh dimanfaatkan meskipun mereka tidak lagi berada dalam perkhidmatan aktif.

Menurutnya, keupayaan itu membolehkan PBPM memainkan peranan sebagai penghubung antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam menyalurkan maklumat yang boleh membantu usaha menjaga keselamatan setempat.

“Dalam konteks ini, PBPM bersedia membantu PDRM sebagai mata dan telinga masyarakat, khususnya dengan menyalurkan maklumat berkaitan keselamatan serta pencegahan dan pembanterasan jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ahli Jawatankuasa PBPM Cawangan Keningau dalam kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Keningau yang baharu, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Kunjungan itu turut menjadi medan suai kenal serta memberi penerangan kepada Erwansyah mengenai fungsi dan peranan PBPM Cawangan Keningau, termasuk usaha menjaga serta memperjuangkan hak dan kebajikan pesara dan bekas anggota polis bersama keluarga mereka.

Anggi berkata, PBPM pada masa sama kekal menyokong dasar kerajaan dan komited memelihara hubungan baik serta kerjasama erat dengan warga PDRM yang masih berkhidmat.

Katanya, kesinambungan hubungan antara bekas anggota dan warga polis dalam perkhidmatan penting bukan sahaja dalam soal kebajikan, malah mampu menyumbang kepada usaha mewujudkan persekitaran lebih selamat untuk masyarakat.

Sementara itu, Erwansyah yang juga Penasihat PBPM Cawangan Keningau menghargai kunjungan berkenaan dan menyatakan komitmen untuk terus menyokong persatuan itu dalam melaksanakan peranannya.

Beliau turut memberi jaminan untuk membantu usaha PBPM memperjuangkan kebajikan pesara dan bekas anggota polis di daerah ini.

Pertemuan itu sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama antara PBPM Cawangan Keningau dan PDRM dengan memanfaatkan pengalaman bekas anggota polis sebagai nilai tambah kepada usaha menjaga keselamatan serta kesejahteraan masyarakat setempat.

— TAMAT —