ISHAK HADIRI MAJLIS MAKAN AMAL SEMPENA HARI ORANG PEKAK SEDUNIA 2026

KENINGAU: 05 Oktober - Isnin: Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Sr. Mohd Ishak Ayub, menghadiri Majlis Makan Amal sempena Hari Orang Pekak Sedunia 2026 yang berlangsung di Dewan SJK(C) Yuk Kong, di sini, baru -baru ini.
Majlis anjuran Persatuan Bagi Orang-Orang Pekak Sabah (Sabah Society for the Deaf) menerusi Cawangan Keningau dan Cawangan Tenom itu menjadi wadah menghimpunkan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran serta sokongan terhadap komuniti orang pekak, khususnya dalam memperjuangkan hak, kebajikan dan keterangkuman mereka.
Bertemakan “Mengisytiharkan Hak Asasi Manusia Orang Pekak”, penganjuran itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan komuniti orang pekak mendapat hak, peluang dan layanan yang sewajarnya serta tidak terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat.

HADIR - Mohd Ishak (dua kiri) bersama Anthony (kiri) semasa hadir majlis tersebut.
Turut hadir Pegawai Daerah Keningau, Norsih Nusuri, serta pemimpin masyarakat setempat termasuk Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming.
Kehadiran barisan kepimpinan kerajaan dan masyarakat pada majlis berkenaan turut mencerminkan sokongan terhadap usaha persatuan dalam memperkasa komuniti orang pekak, selain mengeratkan hubungan antara pertubuhan, pemimpin dan masyarakat setempat.

Majlis berkenaan turut menjadi platform menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat dalam membina persekitaran yang lebih inklusif serta mesra golongan orang kurang upaya.