Gambar Bersama Pelajar

PENAMPANG: Seramai 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Bahang di sini menjalani ujian kemahiran motor asas menerusi kerjasama penyelidikan antara Universitas Negeri Padang (UNP), Indonesia dan Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

Kajian diketuai Profesor Dr. Anton Komaini dari UNP itu menggunakan instrumen MOBAK bagi menilai kompetensi motor asas murid, sekali gus mengenal pasti tahap penguasaan pergerakan mereka untuk membantu perancangan pengajaran Pendidikan Jasmani.

Ujian Kemahiran Menangkap

Ujian berkenaan menilai dua domain utama iaitu pergerakan tubuh dan pengendalian objek, merangkumi kemahiran mengimbang, berguling, melompat dan berlari serta membaling, menangkap, melantun dan menggelecek bola mengikut tahap umur murid.

Penilaian secara sistematik itu membolehkan penyelidik mengenal pasti kemahiran yang sudah dikuasai murid serta aspek yang masih memerlukan bimbingan, khususnya kerana kemahiran pergerakan asas menjadi landasan kepada penyertaan dalam permainan, sukan dan aktiviti fizikal.

Felo Unit Penyelidikan Pendidikan Luar Bandar UMS, Dr. Frederick Josue @ Mohd Fadhil Abdullah berkata, kerjasama itu turut memperkukuh jaringan penyelidikan Malaysia–Indonesia dalam bidang Pendidikan Jasmani dan perkembangan motor kanak-kanak.

“Melalui penilaian yang sistematik, kita dapat memahami keperluan murid dengan lebih baik dan menyediakan asas kepada pengajaran yang bersesuaian dengan keupayaan mereka,” katanya.

Menurutnya, dapatan ujian juga boleh membantu guru merancang aktiviti berdasarkan tahap penguasaan murid yang berbeza, selain memberi bimbingan secara berperingkat dan menyediakan aktiviti lebih inklusif.

“Setiap murid mempunyai keupayaan dan pengalaman pergerakan yang berbeza. Hasil penilaian boleh membantu guru menyediakan aktiviti yang memberi peluang kepada semua murid mengambil bahagian dalam aktiviti fizikal,” katanya.

Pelaksanaan kajian di SK Bahang turut dibantu Cikgu Muhammad Luqman Abdul Said, khususnya dalam persiapan dan penyelarasan ujian membabitkan murid berkenaan.

PENGHARGAAN: Dr. Frederick (empat kanan) menyampaikan penghargaan kepada pihak sekolah.

Penyelidik turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan serta warga SK Bahang, khususnya Guru Besarnya, Lawrence George atas kerjasama sepanjang program dengan sijil penghargaan disampaikan kepada pihak sekolah.

Kerjasama UNP, UMS dan SK Bahang itu turut menyediakan ruang bagi penyelidikan susulan serta perkongsian ilmu berkaitan perkembangan kemahiran motor murid dan pengajaran Pendidikan Jasmani.