Pengerusi Penganjur Hj.Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @Charles mengambil kenangan bersama barisan jawatankuasa penganjur.

KENINGAU: 3  Okt 2026- Hubungan Silaturahim merentasi masa puluhan tahun, halangan jarak dan perbezaan agama. Ada yang datang dari Sandakan dan Tawau, ada dari Pantai Barat, Pedalaman dan Labuan, malah ada yang sudah puluhan tahun tidak bersua sejak meninggalkan Maktab Perguruan Kent Tuaran.

Namun di Bandukan Resort di sini, jarak dan masa yang panjang itu menemukan mereka kembali apabila 108 alumni Maktab Perguruan Kent Tuaran berhimpun dalam Reunion Kent 2026, kelmarin.

Keningau menjadi tuan rumah pertemuan itu yang dikelolakan bersama alumni dari Tambunan, Tenom dan Nabawan, menghimpunkan peserta dari Pantai Barat Selatan, Pantai Barat Utara, Sandakan, Tawau, Pedalaman Bawah serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Bagi sebahagian mereka, perjalanan ke Keningau bukan sekadar untuk menghadiri sebuah reunion, tetapi untuk kembali bertemu sahabat yang pernah belajar, makan, bersukan dan menjalani kehidupan sebagai guru pelatih bersama-sama sebelum membawa haluan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Reunion Kent 2026, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik Mansai @ Charles, berkata pertemuan itu menjadi ruang menghidupkan kembali kenangan dan mengeratkan persahabatan yang terjalin sejak zaman mereka di maktab berkenaan.

Hj Yazid mengambil gambar ketika mengantuni dari meja ke meja

Yazid bukan nama asing dalam kalangan kelompok alumni itu. Pada 1981, beliau merupakan Setiausaha Agung Persatuan Guru-Guru Pelatih Maktab Perguruan Kent Tuaran.

“Reunion ini bukan sekadar makan bersama, bukan sekadar bergambar dan bersalaman, tetapi merupakan pertemuan semula sebuah keluarga besar yang pernah bersama di Maktab Perguruan Kent Tuaran,” katanya.

PULUHAN TAHUN MEMISAHKAN

Selepas meninggalkan maktab, kehidupan membawa mereka ke pelbagai daerah, kerjaya dan tanggungjawab keluarga.

Ada persahabatan yang terus terpelihara, tetapi tidak kurang juga yang terputus hubungan kerana jarak dan perjalanan hidup.

Majlis memotong kek reunion

“Tahun berganti tahun. Ada antara kita yang sejak keluar dari Maktab Kent tidak pernah lagi berjumpa. Tetapi hari ini Allah menemukan kita kembali selepas puluhan tahun,” kata Yazid.

Menurutnya, usia mungkin mengubah wajah dan penampilan, tetapi pertemuan dengan sahabat lama dengan mudah membawa kembali ingatan kepada kehidupan ketika mereka masih menjadi guru pelatih.

“Kita mungkin telah meninggalkan Kent, tetapi Kent tidak pernah meninggalkan kita. Kenangan Kent masih ada di hati dan persahabatan Kent masih ada dalam jiwa,” katanya.

Mencabut nama bertukar tukar hadiah

Bagi Yazid, nilai terbesar reunion itu ialah peluang memulihkan hubungan yang mungkin terputus kerana jarak, kesibukan kerjaya dan komitmen keluarga.

Semakin meningkat usia, katanya, semakin besar penghargaan seseorang terhadap masa dan persahabatan.

“Masa tidak boleh dibeli dan kenangan tidak boleh diulang. Sebab itu pertemuan seperti ini amat berharga. Jangan kita tunggu puluhan tahun lagi untuk bertemu,” katanya.

Beliau mahu hubungan yang kembali bertaut di Keningau itu diteruskan selepas semua peserta pulang ke daerah masing-masing.

“Kalau ada sahabat yang sudah lama tidak kita hubungi, hubungilah. Kalau ada sahabat yang sudah lama tidak kita jumpa, carilah. Kalau ada kenangan yang pernah kita lupakan, hari ini kita hidupkan kembali,” katanya.

SEPANJANG JALAN KENANGAN

Suasana kekeluargaan sepanjang Reunion Kent 2026 turut dihidupkan menerusi pertukaran hadiah, persembahan koir Ahli Jawatankuasa Pelaksana, cabutan nama bertuah dan persembahan peserta.

Tayangan montaj “KENT, SEPANJANG JALAN KENANGAN” pula membawa peserta menyusuri kembali perjalanan dan persahabatan yang dibina sepanjang berada di Maktab Perguruan Kent Tuaran.

Pertandingan Busana Pilihan Terbaik menyaksikan Rahman Jafar memenangi kategori lelaki, manakala Rosemary Jamari memenangi kategori wanita.

Yazid turut merakamkan penghargaan kepada alumni yang sanggup mengatur perjalanan, masa kerja dan komitmen keluarga untuk hadir, termasuk mereka yang memberikan sumbangan dalam bentuk kewangan, material, peralatan, tenaga dan idea.

Penghargaan turut diberikan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Pelaksana Reunion Kent 2026, pengurusan dan warga kerja Bandukan Resort serta pasukan RELA yang membantu memastikan perjalanan program berlangsung lancar.

Menurut Yazid, pertemuan itu membuktikan persahabatan yang bermula ketika menjalani latihan perguruan mampu bertahan merentasi masa dan jarak.

Beliau berharap Reunion Kent dapat diteruskan secara berkala dengan penglibatan lebih ramai alumni dari seluruh Sabah dan Labuan, bukan sahaja untuk mengenang masa lalu tetapi sebagai ruang saling berhubung, membantu, berkongsi pengalaman dan memberikan sokongan.

Kelas 793 yang hadir

“Reunion ini bukan penutup sebuah pertemuan, tetapi permulaan kepada lebih banyak pertemuan dan persahabatan pada masa akan datang,” katanya.

Di Pedalaman Keningau, 108 sahabat lama itu akhirnya kembali ke daerah masing-masing selepas sebuah pertemuan yang mungkin hanya berlangsung beberapa jam.

Mereka membawa pulang hadiah, gambar dan cerita untuk keluarga, tetapi ada sesuatu yang jauh lebih lama usianya daripada semua itu — persahabatan yang bermula ketika mereka masih guru pelatih dan ternyata masih menemukan jalannya selepas puluhan tahun.

Kata Yazid,  “dulu kita sahabat di Kent, hari ini kita keluarga Reunion Kent.”

 

Yazid bergambar dengan rakan rakan maktab, turut dalam gambar Encik Umin Sadi ( sebelah kanan Hj Yazid), Hussin Basir Timbalan Pengerusi JK Penganjur dan Datuk Kamarlin Hj Ombi ( nombor 2 dan 3 dari kanan )

Kelas 801

Jainah-,Joe & Norjana (Kelas 804)