KOTA KINABALU, SABAH – Sekolah Kebangsaan (SK) St. Catherine (M), Kota Kinabalu terus memperkukuh pendidikan kelestarian alam sekitar melalui penganjuran Bengkel Pembuatan Sabun daripada Minyak Masak Terpakai, sebagai satu inisiatif kreatif dalam membudayakan amalan kitar semula dan penggunaan sumber secara bertanggungjawab dalam kalangan warga sekolah.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St. Catherine, Inanam, Dr. Jain Yassin berkata, usaha menjadikan sekolah sebagai Sekolah Sisa Sifar (Zero Waste School)bukan sekadar memberi tumpuan kepada pengurangan sisa, malah selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan keseimbangan antara aspek sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Menurut beliau, bahan buangan yang diuruskan dengan baik boleh ditukar kepada produk yang mempunyai nilai guna dan ekonomi, sekali gus memberi pendedahan kepada murid serta warga sekolah mengenai kaitan antara kelestarian alam sekitar, keusahawanan dan ekonomi kitaran.

“Hasrat kita adalah untuk menjadikan SK St. Catherine sebagai sebuah sekolah yang bukan sahaja mengajar tentang penjagaan alam sekitar, tetapi turut mengamalkan kelestarian sebagai sebahagian daripada budaya sekolah,” katanya.

Bengkel anjuran PIBG SK St. Catherine (M), Kota Kinabalu itu diadakan pada 3 Oktober 2026 di perkarangan sekolah dan turut dihadiri Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Puan Cilisan Gungat, barisan guru, Ahli Jawatankuasa PIBG serta ibu bapa.

Bengkel dikendalikan oleh Puan Vellarry Yong dari Oupus Organics, dengan bantuan dua fasilitator yang membimbing peserta sepanjang sesi amali. Peserta diberikan penerangan dan tunjuk ajar secara langsung mengenai proses menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai, termasuk pengendalian bahan, kaedah pemprosesan serta aspek keselamatan.

Turut diperkenalkan ialah inisiatif ‘Zero Plastic’, apabila peserta membawa bekas makanan dan botol air sendiri sepanjang bengkel berlangsung. Amalan tersebut bukan sahaja dilaksanakan untuk program ini, malah akan dijadikan amalan tetap bagi program dan aktiviti sekolah pada masa akan datang.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha membudayakan pengurangan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan warga sekolah, di samping menunjukkan bahawa amalan kelestarian boleh bermula melalui tindakan mudah dalam kehidupan seharian.

Daripada minyak masak terpakai kepada produk bernilai, bengkel ini membawa mesej bahawa perubahan kecil yang dilakukan secara konsisten mampu menghasilkan impak yang lebih besar ke arah persekitaran yang bersih dan masa depan yang lebih lestari.