PUSAKA PERKASA AHLI MELALUI KEBUN DAPUR

Paliton menyampaikan sumbangan PUSAKA berupa kereta surung kepada Ugai (ketiga dari kanan), turut kelihatan Sinawat (tengah).
SIPITANG: Persatuan Keluarga Keturunan Pahlawan Ontoros @ Antenom (PUSAKA) akan memohon sokongan dan bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi membantu ahli persatuan yang mengusahakan pertanian, penternakan serta perusahaan berkaitan pengeluaran makanan.
Presiden PUSAKA, Sinawat @ Welly Antakah berkata, usaha itu selaras dengan pelaksanaan program kebun dapur yang diilhamkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Haji Jamawi Jaafar, bagi menggalakkan masyarakat menceburi aktiviti pengeluaran makanan.
Katanya, sebagai langkah memberi motivasi kepada ahli, PUSAKA mengadakan Jelajah Kebun Dapur dengan meninjau beberapa pengusaha yang telah memulakan usaha masing-masing menggunakan modal sendiri.
“Walaupun belum menerima dana daripada kerajaan, mereka tetap berusaha memulakan projek masing-masing. PUSAKA mahu usaha seperti ini terus diberi galakan dan sokongan,” katanya.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Keusahawanan PUSAKA Paliton Ansiyung menyampaikan buah tangan kepada Monica sambil saksikan Sinawat (kanan).
Antara pengusaha yang dijejaki ialah Monica Damong yang mengusahakan ternakan ayam daging serta Ugai Tamang yang mengusahakan pertanian bersepadu membabitkan tanaman limau kapas, betik, kopi dan durian Musang King.
Monica berkata, beliau bercadang mengembangkan lagi ternakan ayam daging dan berharap pihak kerajaan dapat membantu usaha berkenaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Ugai berharap mendapat bimbingan serta khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian bagi membantu mengembangkan projek pertanian bersepadu yang diusahakannya.
Turut dijejaki ialah pengusaha kafe, Richard Padan yang mengusahakan DO' LEO Kitchen.
Sinawat berkata, Jelajah Kebun Dapur itu merupakan salah satu pengisian sempena mesyuarat bulanan PUSAKA yang diadakan di Kampung Damai, Sipitang Sabtu lepas.
Menurutnya, program berkenaan bukan sahaja bertujuan melihat perkembangan usaha ahli, malah memberi peluang kepada barisan kepimpinan PUSAKA mengenal pasti keperluan pengusaha untuk dibawa kepada pihak berkaitan.
Sempena jelajah itu, PUSAKA turut menyampaikan buah tangan berupa peralatan yang bersesuaian dengan bidang yang diceburi sebagai tanda sokongan dan galakan kepada para pengusaha.
Turut serta dalam jelajah berkenaan ialah barisan Ahli Jawatankuasa PUSAKA dan Pengerusi-Pengerusi Biro persatuan.
Laporan Oleh: Sawing M.