TAMBUNAN: Institusi Mahkamah Anak Negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan undang-undang adat, sistem penghakiman dan pentadbiran hal ehwal Anak Negeri kekal relevan serta mampu memenuhi keperluan masyarakat semasa.

Ahli Parlimen Keningau merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, sebelum kewujudan sistem perundangan moden, adat dan tradisi merupakan undang-undang yang menjadi pegangan masyarakat tempatan dalam menjaga keharmonian antara individu, keluarga dan masyarakat.

GIMIK Paluan gong sebanyak 7 kali oleh Dr Jeffrey.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Keluarga Mahkamah Anak Negeri Tambunan 2026 di perkarangan Bangunan Mahkamah Anak Negeri  (MAN) Tambunan semalam.

Jeffrey turut menjelaskan bahawa pengukuhan MAN akan melibatkan pemisahan yang lebih jelas antara fungsi penghakiman dengan tugas pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Anak Negeri di lapangan.

Menurut beliau, latihan akan diberikan kepada mereka yang bakal menjalankan tugas sebagai hakim Mahkamah Anak Negeri, dan individu yang memilih menjalankan fungsi kehakiman tidak lagi melaksanakan tugas pentadbiran seperti sebelumnya.

Penyampaian Sijil Penghargaan kepada salah seorang Ketua Adat sambil diperhatikan oleh OKK Philip Datuk Kitingan.

Perkembangan itu selari dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 22 Julai lalu, yang membawa pembaharuan terhadap struktur dan pentadbiran sistem keadilan adat Sabah. RUU berkenaan diluluskan selepas dibahaskan oleh 12 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Jeffrey turut mengambil perhatian terhadap permohonan supaya rumah adat, balai adat atau dewan adat diwujudkan di setiap mukim di daerah Tambunan.

Beliau menyifatkan kemudahan itu sebagai satu keperluan dan menyatakan pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat.

Dalam masa sama, beliau turut dimaklumkan mengenai keperluan kemudahan kenderaan untuk MAN Tambunan dan berkata perkara itu akan dibincangkan dengan kerajaan bagi mendapatkan penyelesaian.

Sementara itu, Ketua Daerah Tambunan, OKK Philip Datuk Kitingan berkata Hari Keluarga berkenaan bukan sekadar acara untuk berkumpul, tetapi menjadi ruang untuk memperkukuhkan hubungan antara warga  MAN, barisan Ketua Adat dan ahli keluarga masing-masing.

Menurut beliau,MAN mempunyai peranan penting dalam memelihara, melindungi dan menegakkan undang-undang serta adat istiadat Anak Negeri.

Katanya, tanggungjawab itu memerlukan kerjasama, kebijaksanaan, integriti dan komitmen semua pihak bagi memastikan setiap amanah dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Majlis perasmian turut diserikan dengan gimik paluan gong sebanyak tujuh kali oleh Jeffrey, penyampaian cenderamata kepada perasmi serta penyampaian sijil penghargaan kepada Ketua-ketua Adat yang diwakili seorang Ketua Anak Negeri bagi setiap mukim.

Program Hari Keluarga itu turut diisi dengan sesi cabutan dan pertukaran hadiah, persembahan paluan gong oleh Ketua-ketua Adat setiap mukim, cabutan nama bertuah, persembahan nyanyian serta hiburan pentas sebelum program dijadualkan berakhir pada jam 8 malam.

Sambutan tahun ini membawa tema “Adat Dijunjung, Keluarga Disanjung, Keharmonian Dikecapi Bersama.”

Jeffrey dalam penutup ucapannya menyeru masyarakat supaya terus bersama-sama menjaga adat dan budaya agar kekal kukuh serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang.