METMALAYSIA DIGESA PASANG SEGERA SISTEM AMARAN AWAL GEMPA BUMI DI KUAMUT

MASIUNG
TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah meminta supaya Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memasang segera sistem amaran awal gempa bumi di Kuamut susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 di Kuamut, Kinabatangan, pada jam 5.32 pagi tadi.
Katanya, walaupun gempa itu tidak menimbulkan suasana panik dalam kalangan penduduk, namun pemasangan sistem itu dilihat wajar dipasang segera memandangkan Tongod merupakan kawasan berisiko dan dikhuatiri akan berlaku lagi gempa susulan yang lebih dahsyat.
"MetMalaysia wajar memasang pengesan awal gempa di daerah itu kerana Kuamut pernah digegarkan gempa Magnitud 3.6 skala Richter pada kedalaman 280 kilometer pada 17 Julai tahun ini," katanya.
Susulan gempa bumi lemah pagi tadi, Masiung telah mengarahkan Pegawai Daerah Tongod, Hadzlan Jablee untuk mengenal pasti kawasan terkesan, termasuk kemungkinan berlaku keretakan pada infrastruktur awam.
Bagaimanapun setakat ini katanya, belum ada laporan penuh diterima dari Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kerja Raya dan juga pihak polis.
"Biasanya kejadian gempa akan berulang dan MetMalaysia harus mengambil tanggungjawab segera memasang sensor pengesan awal gempa bumi di Kuamut sebelum bencana itu berulang dengan risiko yang besar, " katanya.
Pada 5.32 pagi tadi, satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter berlaku di Kuamut, Kinabatangan.
Menurut MetMalaysia pusat gempa dikesan pada koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur.
Gempa bumi awal pagi ini berlaku pada kedalaman 118 km barat laut dari Tarakan, dan 34 km Indonesia dan 34 km barat daya dari Tongod.