PERSATUAN DEWAN PERNIAGAAN DAN PERUSAHAAN KENINGAU RAYU BEKALAN SIMEN DIATASI

Anthony (duduk tengah) bersama AJK Persatuan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau.
KENINGAU: Khamis 24 Sept 2026 - Masalah bekalan simen yang tidak menentu di negeri ini semakin memberi tekanan kepada masyarakat setempat apabila bekalan daripada beberapa jenama utama mengalami kekurangan sehingga memaksa mereka mendapatkan sumber alternatif pada kos lebih tinggi.
Presiden Persatuan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming berkata, bekalan simen import dari Vietnam yang terakhir diterima pada 20 September lalu kini turut berdepan kekurangan stok.

KAPITAN ANTHONY CHONG KONG MING
Beliau yang juga pemilik perusahaan Anthony Hardware di Keningau berkata, keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa mencari pilihan lain termasuk mendapatkan bekalan daripada sumber lain yang melibatkan kos lebih tinggi.
“Sekarang simen jenama Gajah dan simen Vietnam tiada stok. Hari ini saya terpaksa membuat pesanan simen jenama Gunung, tetapi harganya lebih mahal,” katanya ketika berkongsi keadaan semasa bekalan simen di pasaran Keningau.
Menurut beliau, isu bekalan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga hardware, malah turut membebankan kontraktor, pembina rumah dan pengguna yang memerlukan bahan binaan untuk kerja-kerja pembangunan.
Sehubungan itu, pengusaha hardware di Keningau merayu kerajaan negeri mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan serta mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd mengenai langkah penyelesaian bagi memastikan bekalan simen kembali stabil.
Mereka turut berharap kerajaan negeri mempertimbangkan langkah membuka ruang kepada pelabur baharu yang berminat untuk menceburi industri pengeluaran simen di Sabah melalui pemberian lesen atau kelulusan berkaitan.
Menurut mereka, lebih banyak penyertaan dalam industri tersebut dapat membantu mewujudkan persaingan sihat, meningkatkan kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos kepada rakyat dan sektor pembinaan.
“Isu ini bukan hanya soal perniagaan, tetapi melibatkan kelancaran pembangunan di daerah dan keperluan harian masyarakat. Bekalan bahan asas seperti simen perlu diberi perhatian supaya tidak menjejaskan projek serta ekonomi setempat,” katanya.
Kekurangan bekalan bahan binaan secara berterusan menjadi kebimbangan pengusaha kerana ia boleh memberi kesan rantaian terhadap kos pembinaan dan kemampuan pengguna mendapatkan bahan asas pada harga munasabah.
Beberapa pengusaha hardware di Keningau ketika ditemui berkata, penyelesaian jangka panjang amat diperlukan agar industri pembinaan Sabah dapat bergerak dengan lebih lancar, dengan bekalan yang mencukupi dan pasaran yang lebih terbuka.