KOPEKS SERTAI TOWNHALL I-CORES, SOKONG PENGUKUHAN TADBIR URUS DAN PEMATUHAN SYARIAH

KOTA KINABALU, 24 September 2026 – Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) menyertai Sesi Townhall Pengukuhan Tadbir Urus dan Pematuhan Syariah dalam Gerakan Koperasi (i-CORES) yang berlangsung di Hyatt Regency Kinabalu hari ini.
Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) itu bertujuan meningkatkan pemahaman koperasi mengenai kewangan Islam, i-CORES serta kepentingan pematuhan Syariah dalam operasi dan aktiviti koperasi.

Delegasi KOPEKS diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Haji Saat bin Haji Ag Damit, bersama Setiausaha, Nismah binti Kanak dan Bendahari, Ag Azmee bin Ag Kati.
Turut mewakili KOPEKS ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Buvil bin Angkui; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Rita binti Rantian; serta Akauntan, Mohamad Khalilludin bin Abdul Gani.
Penyertaan KOPEKS dalam sesi townhall ini turut selaras dengan pelantikannya baru-baru ini oleh SKM sebagai mentor tunggal bagi pengukuhan tadbir urus dan pematuhan Syariah dalam gerakan koperasi di negeri Sabah.
Antara pengisian program ialah pengenalan sistem kewangan Islam dan pematuhan Syariah, prinsip fiqh al-muamalat dan kontrak Syariah, serta pengenalan i-CORES dan penerapannya dalam operasi serta aktiviti koperasi.
Ceramah dikendalikan oleh Tuan Haji Khairun Najmi Saripudin dari INCEIF University, sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia.
Menurut beliau, amalan patuh Syariah dalam koperasi kredit bukan sahaja merupakan keperluan perundangan di bawah seliaan SKM, malah menjadi kewajipan umat Islam untuk menerapkan syiar Islam dalam aktiviti ekonomi.
Selain memberikan pendedahan mengenai asas kewangan Islam, program tersebut turut memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti isu dan cabaran dalam pelaksanaan tadbir urus serta pematuhan Syariah. Penekanan diberikan kepada pencarian penyelesaian yang praktikal dan relevan dengan keperluan gerakan koperasi.
Sesi maklum balas daripada koperasi turut menjadi sebahagian daripada pengisian program, sekali gus menyediakan ruang untuk mengetengahkan persoalan dan keperluan berkaitan pelaksanaan pematuhan Syariah. Penganjuran townhall ini juga bertujuan menggalakkan lebih banyak koperasi beralih kepada model operasi berasaskan Syariah bagi menyokong pembangunan ekosistem berkenaan.
Penglibatan barisan kepimpinan dan pengurusan KOPEKS mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus koperasi serta meningkatkan kefahaman mengenai pematuhan Syariah. Pendedahan ini dapat menjadi panduan dalam menilai dan menambah baik amalan pengurusan serta operasi demi kepentingan anggota.
KOPEKS merupakan koperasi pertama di Sabah melaksanakan skim pembiayaan dan kewangan Islam pada tahun 2010 dan memperkukuhkan produk patuh syariah dalam perniagaan Ar-Rahnu X'Change bersama dengan Bank Rakyat melakui Rakyat Management Services Sdn Bhd sejak 15 tahun lalu.