KUIZ PENGETAHUAN AM SJKC ZON KENINGAU BENTUK MURID CELIK DUNIA

Keningau: Rabu 23 Sept 2026- Satu Kuiz Pengetahuan Am SJKC Peringkat Negeri Ke-21 (2026), telah fiadakan di Keningau.
Pertandingan anjuran Bahagian Wanita Gabungan Persatuan Hakka Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama persatuan-persatuan ahlinya itu berlangsung di Dewan SJKC Yuk Yin Keningau baru- baru ini, menghimpunkan wakil murid daripada SJKC Yuk Yin Keningau, SJK (C) Yuk Kong dan SJKC Cheng Ming.
Pengerusi Majlis merangkap Presiden Persatuan Hakka Keningau, Kapitan Anthony Chong Kong Ming berkata, pertandingan berkenaan bukan sekadar medan menguji pengetahuan, sebaliknya menjadi platform membina budaya membaca, pemikiran luas serta kesedaran terhadap perkembangan semasa.
Beliau berkata, dalam era maklumat bergerak pantas, murid perlu melangkaui pembelajaran di dalam buku teks dengan mengambil tahu perkembangan berita dalam dan luar negara, sejarah, teknologi serta isu masyarakat.

“Seorang cendiakawan mampu mengetahui urusan dunia tanpa keluar rumah,” katanya sambil mengingatkan peserta bahawa ilmu yang dikumpul sepanjang proses pembelajaran lebih bernilai daripada keputusan pertandingan semata-mata.
Beliau turut menyeru murid supaya menghayati prinsip “Utamakan Pembelajaran, Pertandingan Kedua”, dengan menjadikan setiap cabaran sebagai peluang memperkaya pengetahuan dan membina keyakinan diri.
Pertandingan kali ini meliputi pelbagai bidang termasuk Bahasa Cina, Sains, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Moral, Sejarah, berita dalam negara, berita antarabangsa, sukan serta isu politik dan ekonomi, sekali gus menguji keluasan ilmu serta keupayaan murid memahami dunia sekeliling.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola merangkap Ketua Bahagian Wanita, Tsen Seong Yun berkata, sambutan daripada pihak sekolah, guru dan murid menunjukkan kesedaran terhadap kepentingan pembelajaran luar bilik darjah semakin berkembang.
Menurut beliau, nilai utama pertandingan bukan hanya terletak pada kemenangan, tetapi proses persediaan yang membentuk tabiat membaca, sikap ingin tahu dan kebolehan melihat sesuatu isu daripada pelbagai sudut.
“Setiap pertandingan mempunyai menang dan kalah, tetapi ilmu yang diperoleh tidak pernah hilang,” katanya.

Keputusan pertandingan menyaksikan Yap Kah Xuan dari SJK (C) Yuk Kong muncul sebagai Johan, diikuti Annabelle Lee Wei Zhen di tempat kedua dan Ryanden Tham Zhen Yuan di tempat ketiga, kedua-duanya juga dari sekolah sama.
Kapitan Anthony Chong Kong Ming turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pengelola, guru besar, guru-guru serta ibu bapa atas sokongan menjayakan pertandingan tersebut.