Setiap 16 September, kita memperingati kelahiran Malaysia. Namun selepas 63 tahun pembentukan sebuah negara bernama Malaysia, mungkin sudah tiba masanya kita bertanya satu soalan yang lebih mendasar: sejauh mana sebenarnya kita saling memahami?

Malaysia hari ini dihuni sekitar 34.4 juta penduduk dan kekal sebagai sebuah masyarakat yang sangat rencam dari segi etnik, agama, bahasa, budaya dan wilayah. Kepelbagaian ini sepatutnya menjadi kekuatan negara. Namun, hidup bersama dalam sebuah negara tidak semestinya bererti kita telah benar-benar mengenali antara satu sama lain.

Selepas lebih enam dekad, hubungan antara etnik di Malaysia secara umumnya telah melalui proses kematangan. Kita belajar, bekerja, berniaga dan membina kehidupan dalam ruang sosial yang sama. Namun pada satu tahap tertentu, hubungan itu masih banyak bersifat toleransi, belum sepenuhnya berkembang menjadi penerimaan dan kepercayaan.

Hal yang sama dapat diperhatikan dalam hubungan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Masih terdapat rakyat di Semenanjung yang memahami Sabah dan Sarawak melalui gambaran yang terlalu umum. Pada masa yang sama, wujud juga tanggapan di Malaysia Timur bahawa pengalaman, sejarah dan aspirasi mereka kurang difahami oleh masyarakat di Semenanjung. Sedangkan Sabah dan Sarawak bukan sekadar wilayah di seberang Laut China Selatan, tetapi sebahagian daripada asas sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

Justeru, cabaran terbesar perpaduan hari ini mungkin bukan lagi persoalan sama ada kita boleh hidup bersama, tetapi sejauh mana kita bersedia memahami pengalaman orang lain. Stereotaip etnik dan wilayah masih wujud kerana kita kadangkala mengenali masyarakat lain bukan melalui interaksi sebenar, tetapi melalui prasangka yang diwarisi, naratif politik atau gambaran yang dipermudahkan.

Media sosial menjadikan cabaran ini semakin kompleks. Pada 2025, akses internet isi rumah di Malaysia telah mencapai 97.1 peratus. Teknologi sepatutnya mendekatkan kita. Seorang anak muda di Johor boleh mengenali kehidupan masyarakat Iban di Kapit, manakala seorang mahasiswa di Kota Kinabalu boleh berinteraksi dengan rakannya di Kelantan dalam beberapa saat. Tetapi algoritma media sosial juga boleh membentuk echo chamber yang menyebabkan kita lebih banyak mendengar pandangan kelompok sendiri. Perbezaan akhirnya tidak lagi diraikan sebagai kepelbagaian, tetapi mudah ditafsirkan sebagai pertentangan.

Di sinilah pendidikan, keluarga dan media mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih besar. Pendidikan tentang Malaysia tidak seharusnya berhenti pada menghafal tarikh 16 September 1963. Anak-anak perlu memahami mengapa Malaysia dibentuk, siapa yang membentuknya, serta bagaimana sejarah dan pengalaman masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung saling melengkapi. Keluarga pula merupakan sekolah sosial pertama untuk mengajar bahawa perbezaan bukan ancaman. Media, pada masa yang sama, perlu lebih banyak membawa cerita tentang kehidupan rakyat biasa yang merentasi batas etnik, agama dan wilayah.

Jika ada satu perubahan yang perlu kita lakukan untuk generasi akan datang, ia adalah mengubah paradigma perpaduan daripada “belajar bertoleransi” kepada “belajar saling mempercayai.” Toleransi bermaksud kita bersedia hidup dengan perbezaan. Penerimaan pula bermaksud kita menghormati perbezaan tersebut. Tetapi kepercayaan membawa kita lebih jauh, yakni kita mula melihat nasib orang lain sebagai sebahagian daripada nasib kita sendiri.

Selepas 63 tahun, Malaysia tidak lagi hanya memerlukan rakyat yang mampu hidup bersama. Malaysia memerlukan rakyat yang mahu mengenali, memahami dan mempercayai satu sama lain.

Kerana akhirnya, sebuah negara tidak menjadi kukuh hanya kerana sempadannya dikongsi bersama. Sebuah negara menjadi kukuh apabila rakyatnya mempunyai rasa bahawa “Malaysia ini milik kita bersama, dan masa depan kita juga adalah masa depan bersama.”

Selamat Hari Malaysia.
 

Prof Madya Dr Zaini Othman
Institut Kajian Etnik (KITA)
Universiti Kebangsaan Malaysia