Abdul Ghani (ketiga dari kanan) menyampaikan rambat (jala) dan tong yang dibekalkan oleh Jabatan Perikanan kepada Pengerusi Tagal Kampung Takilis Patirik Ramban.

NABAWAN: Amalan tagal tradisi bukan sekadar melindungi ikan dan spesis lain di sungai sebaliknya merupakan warisan adat dan tradisi masyarakat yang mencerminkan kesedaran sejak dahulu terhadap kepentingan memelihara sungai serta memastikan kelestarian sumber alam untuk generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani bin Mohamed Yassin berkata, sungai bukan sahaja menjadi sumber makanan dan tempat mendapatkan ikan, malah berperanan penting dalam membentuk hubungan sosial serta identiti masyarakat setempat.

Menurutnya, amalan tagal membuktikan bahawa masyarakat terdahulu sudah mempunyai kesedaran tentang kepentingan mengurus dan memelihara sumber alam secara berhemah.

Abdul Ghani memotong riben sebagai simbolik perasmian Buka Tagal Tradisi Kampung Takilis di Lubuk Lumiri, Sungai Saliuh pada Selasa.

Abdul Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) berkata demikian ketika merasmikan  Buka Tagal Tradisi Kampung Takilis di Lubuk Lumiri, Sungai Saliuh pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa penjagaan sungai perlu dilakukan secara berterusan supaya sumber ikan dapat membiak dan dinikmati bukan sahaja oleh penduduk hari ini, tetapi juga oleh generasi akan datang.

“Jangan hanya memikirkan hasil yang boleh diperoleh hari ini, tetapi fikirkan juga keperluan anak cucu kita pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya mengelakkan aktiviti yang boleh merosakkan ekosistem sungai, termasuk pencemaran, penggunaan kaedah menangkap ikan yang tidak sesuai serta pengambilan hasil secara berlebihan.

Beliau berkata, usaha memelihara sungai tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen semua pihak, khususnya masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan sungai.

Katanya, ketua kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), golongan belia serta seluruh penduduk perlu memainkan peranan dalam memastikan peraturan tagal dipatuhi dan kawasan sungai sentiasa terpelihara.

Menurutnya lagi, disiplin dan kerjasama masyarakat merupakan kunci utama bagi memastikan sumber ikan dapat dikekalkan untuk tempoh yang lebih panjang.

Dalam pada itu, beliau turut melihat kawasan sungai yang terpelihara mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai tarikan eko pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya tempatan.

Katanya, aktiviti tagal boleh dikembangkan sebagai pengalaman budaya yang unik, selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk melalui penyediaan makanan tradisional, penghasilan kraftangan, perkhidmatan tempatan dan aktiviti komuniti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara terkawal supaya kepentingan alam sekitar tidak dikorbankan demi mengejar keuntungan ekonomi.

Beliau turut menggalakkan penglibatan generasi muda dalam meneruskan warisan tagal agar amalan yang diwarisi secara turun-temurun itu tidak sekadar menjadi kenangan atau cerita pada masa hadapan.

Menurutnya, golongan belia boleh membantu melalui usaha mendokumentasikan adat tradisi, mempromosikan kawasan sungai, memantau kebersihan persekitaran serta membantu mengurus aktiviti tagal secara teratur.

Beliau berkata, kelangsungan sesuatu warisan bergantung pada kesediaan generasi muda untuk mempelajari, menghargai dan mengambil tanggungjawab dalam meneruskannya.

Selain aspek pemeliharaan alam sekitar, beliau berkata program seumpama itu turut mengukuhkan semangat gotong-royong, perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat kampung.

Katanya, masyarakat yang bersatu padu akan lebih mudah bekerjasama dalam menjaga persekitaran, memelihara adat serta membangunkan ekonomi setempat.

Beliau berharap amalan tagal tradisi terus dipertahankan sebagai lambang warisan dan identiti masyarakat Kampung Takilis, di samping menjadi contoh bahawa adat tradisi mampu bergerak seiring dengan pembangunan moden.

"Melalui kerjasama semua pihak, amalan tagal diharap dapat terus menjadi platform untuk memelihara khazanah alam, memperkukuh hubungan masyarakat dan mewariskan sumber sungai yang lestari kepada generasi akan datang" tambahnya.